3/22/2008

Isu Perkauman

Dengan sentimen perkauman yang tercetus disusuli demontrasi yang diatur oleh golongan kecewa di kawasan-kawasan yang diperintah oleh B.A seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak kiranya dikonspirasikan secara terancang boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam keharmonian kaum di Malaysia. Walaupun Hishammudin@ keris-sam menafikan Pihak Pemuda UMNO terlibat dalam menganjurkan perhimpunan atau demonstrasi tersebut tetapi apa yang jelas yang menjadi jurucakap para demonstrasi semasa di komtar dan yang membobrokkan saranan “ Ini Bukan Budaya Kita” terdiri dari golongan UMNO itu sendiri seperti yang terpapar di kaca-tv. Turut cuba menjernihkan keadaan ialah pengendali-pengendali laman blog atau pengunjungnya bahawa sentimen perkauman adalah tidak relevan waktu kini malah menyindir bahawa isu perkauman yang disuntik oleh BN tidak akan membawa kesan sebagai umpan bagi meraih sokongan.
Pada dasarnya sentimen perkauman sebenarnya mampu mencetuskan insiden buruk sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan dan semakin diapi-apikan sebagai resepi tambahan untuk modal politik . Keharmonian yang dinikmati akan goyah andainya sesuatu kejutan seperti petaka ekonomi atau sosial atau provokasi agama menjadi keutamaan. Kita tidak mampu mengagak sejauh mana keharmonian ini akan bertahan kerana bagi permulaan sesuatu perubahan yang mengejutkan terbit dari PR12 baru-baru ini keutuhan keakraban masyarakat "multi racial" yang dimasyurkan belum lagi teruji.
Dengan para-para konspirator yang merancang insiden protes di Pulau Pinang dan di Perak baru baru ini mampu melarat ke tempat-tempat lain yang masih merupakan gelanggang sabung politik bagi pihak-pihak yang terlibat. Penguasaan media oleh pihak pemerintah nampaknya tidak mengambil berat situasi yang berlaku ini dan seakan-akan tiada ketegasan agar ianya dihentikan sama ada dari pihak akar umbi hingga pucuk pimpinan. Yang cuba diperhangatkan hanyalah berpandu pada spekulasi media dengan tuduhan bahawa pihak lawanlah yang membawa puncanya dari penolakan DEB selepas rasmi memerintah Pulau Pinang.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa senario bangsa melayu di Pulau Pinang tidak sama dengan Melayu di negeri-negeri lain. Dengan agihan kuasa politik yang dikompromi antara pemerintah terdahulu iaitu UMNO dan MCA-GERAKAN dan keadaan ekonomi dan pemilikan tanah yang tidak berupaya dibela oleh pemimpin mereka sendiri maka nasib melayu Pulau Pinang tidak pernah meningkat ke status yang lebih baik. Sebagai bangsa minoriti di Pulau Mutiara maka bangsa melayu di situ kelihatan semakin terpinggir walaupun sebelum ini kuasa eksekutif bukannya tidak pernah dimiliki oleh pemimpin mereka.
Kegagalan yang lalu kini sanggup dijadikan modal bagi meraih sokongan umat melayu Pulau Pinang yang semakin jelak dengan janji-janji pemimpin mereka yang kelihatan perut semakin buncit bersantai dengan taukeh-taukeh cina. Apapun yang membuat sebahagian pengundi mengalih undian mereka adalah disebabkan oleh pemimpin -pemimpin mereka sendiri yang lebih mementingkan diri sendiri dan mereka yang hampir dengannya. Umat melayu Pulau Pinang seperti tiada pilihan lain untuk mencuba merubah nasib mereka yang tetap terpinggir walaupun dipimpin oleh bangsa sendiri. Dengan membangkitkan isu perkauman yang jelas berbaur politik maka keadaan yang diharapkan tidak mungkin terjadi seperti yang dikehendaki oleh BN dan mungkin sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku sekira ianya tidak dibendung dengan segera.
Kita agak lega apabila ada pegawai-pegawai tinggi keselamatan masih menyedari situasi yang mampu memburuk ini dan telah mengambil langkah-langkah pro-aktif supaya keadaan dapat dikawal. Ketegasan dan etika yang dipuji itu telah mampu mengawal keadaan dari merebak buat sementara ini.
Bagi menstimulasikan lagi keadaan maka beberapa pertubuhan NGO mula muncul bagi merancakkan lagi paluan gendang dengan maksud menjadi juara atas isu perkauman kononnya untuk mempertahankan hak-hak melayu yang semakin terpinggir. Pengabungan yang dipanggil Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (Malay Unity Action Front, BBPM) telah mengeluarkan resolusi yang pekat berbaur ( lihat kenyataan Farish Noor dalam Malaysia Today- Farewell To The Homogenous Malay )

The latest attempt to shore up the fictional notion of Malay unity has come in the form of the creation of the Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (Malay Unity Action Front, BBPM), cobbled together by five-and-twenty Malay-Muslim NGOs and lobby groups to call for the unity of the Malay-Muslims and the defence of the status and place of Islam in the country. Already feelers have been sent out to court the doubtful hearts in PAS, on the basis that Malay-Muslim unity has to come first and foremost. All the buttons on the register have been pressed hard: Malay Unity, Islamic Unity, Communal interest, et al.

perkauman seolah-olah melayu kini benar-benar telah terancam dan memerlukan pembelaan segera. Menerusi berita di kaca-tv pada komen-komen yang dipaparkan membayangkan seolah-olah umat melayu kini telah berpecah dan perlu disatukan kembali untuk menentang ancaman-ancaman yang dengan jelas disebut sebagai ancaman dari bangsa-bangsa asing dan bukan melayu. Benarkah ancaman-ancama n tersebut telah ujud dan kini sedang menyeringaikan taringnya pada bangsa melayu. Apa pula agaknya pendapat pihak keselamatan negara, benarkah ancaman tersebut sedang aktif dan giat dijalankan? Pihak RTM atau lidah kerajaan BN yang menyiarkan berita dan komen orang awam harus bertanggungjawab untuk menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan dan terakhir ialah pada berita sebelum rencana ini di tulis ialah jam 1.30 pagi 21 March 2008.
Seolah-olah ujud sesuatu yang tidak kena pada kestabilan hubungan kaum di negara ini. Apakah ketidakstabilan itu ujud sebelum atau selepas PR12 atau telah pun wujud sekian lama ? Jika diambil perhatian pada surat-surat dan e-mail layang yang telah beredar pada masyarakat umum selama ini ia memang telah mendatangkan keresahan rakyat yang inginkan keamanan. Benarkah bahawa keharmonian yang kita banggakan selama ini hanya retorik dan masing-masing kaum hanya bersikap hipokrit dan berpura-pura semata-mata. Mungkinkah keharmonian yang dipertunjukkan hanya lakonan kerana terdesak dengan kesempitan hidup atau hanya satu kaedah bagi meneruskan kemandirian sosial yang berkait rapat dengan peluang dan kesempatan. Apakah kenyataan-kenyataan serta maklum balas dari Barisan Rakyat didalam ruang siber yang cuba menerangkan bahawa isu perkauman telah tidak relevan masa kini hanya sekadar penyedap telinga? Ada dua perbedaan pegangan dan pendapat di-mana satu pihak cuba menafikannya dan di satu pihak lain bukan sahaja berdiam diri malah dengan rangkaian organisasi yang berkait rapat dengannya telah meniup bara yang telah lama terpendam.
Kerajaan yang diterajui BN selama ini memang menyarankan hubungan kaum yang lebih erat bagi menjana kemajuan dari kerjasama sesama rakyat yang berbilang kaum dalam keadaan yang lebih harmoni. Jika BN benar-benar memperjuangkan nasib rakyat dan kestabilan negara maka adalah lebih baik senario yang terbit sekarang ini dikawal selia dan meneutralkanya sebaik mungkin. Mengapi-apikan sentimen yang berbahaya dan meresahkan rakyat ini perlu dihentikan demi kesejahteraan rakyat malaysia yang rata-rata mengimpikan suasana yang lebih baik dari sebelumnya. Kita masing-masing telah mengalami sesuatu perubahan yang amat mengejutkan dan apa yang telah terjadi janganlah membuatkan diri kita semakin ego untuk menerima sesuatu kekecewaan atau kemenangan hingga bak kata pepatah “ marahkan nyamuk maka kelambu pula yang dibakar”.
Sebagai manusia yang beragama dan mempercayai bahawa untung nasib terletak pada takdir Sang Pencipta maka lakukanlah apa yang diamanahkan menurut panduan agama yang patut dicontohi. Jika Tuhan dilupakan kerana keterlanjuran akibat dari kealpaan dan salah pertimbangan semasa memerintah maka eloklah muhasabah dengan lebih tulus dan ikhlas. Hakikat dari segala usaha yang dicurahkan telahpun dijelmakan dan hakikat tersebut membayangkan hasil dari pentadbiran yang telah dilaksanakan. Baik atau buruk hasilnya berkait rapat dengan sebab musabab yang kita sendiri mengenalinya tanpa sebarang tabir alasan.

Umum mengetahui bahawa pentadbiran melalui cara pecah dan perintah mampu memberi keuntungan pada pihak yang berkepentingan di mana-mana sahaja apabila terdapat manusia yang ingin berkuasa dan memerintah. Ia adalah cara yang termudah untuk memerintah dan mengawal dari kaedah lain yang memerlukan sifat-sifat yang lebih positif dan bersifat humanism adalah terlalu sukar diadaptasi dengan hawa nafsu yang masih menjadi sebahagian dari cita-cita politik peribadi. Dengan meningkatnya tahap pemikiran dan kaedah menerima maklumat dalam dunia siber tanpa sempadan maka kebebasan cara berfikir dan bertindak bergantung pada kecenderongan dan tahap ilmu yang dimiliki setiap individu. Maklumat yang lebih bebas menjadi pilihan dari maklumat yang stereotaip yang seringkali mengecewakan mereka yang inginkan ketelusan dan kejujuran dari mereka yang menyampaikan berita-berita dan lapuran. Rata-rata masyarakat kini memandang rendah keupayaan media-media arus perdana yang amat dikenali dengan pembohongan dan tidak telus dalam menyampaikan maklumat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa maklumat dari internet bukan tidak ada yang palsu dan berupa fitnah tetapi dengan kepantasan maklumat dan berita yang mudah diperolehi ianya terpulang pada sikap individu itu sendiri sama ada untuk mempercayai kebenaran atau kepalsuan.
Berbalik pada sikap mendiam diri pada bangkitnya isu perkauman dan menambahkan usaha meraih pengaruh menerusi isu tersebut iannya bukan sahaja memecahkan dan merungkaikan kepercayaan bangsa lain terhadap bangsa melayu. Sikap cepat melatah dan mengamuk tanpa sebab yang rasional mampu merosakkan keharmonian yang terjalin. Bukan itu sahaja malahan kesatuan umat melayu akan bertambah retak dan mungkin keadaan yang lebih parah boleh berlaku. Dalam menghadapi situasi global yang tidak menentu dan persaingan kuasa yang kembali timbul antara barat dan timur seperti yang berlaku di Asia Barat dan Eropah, kekuatan asas negara janganlah diperjudikan semata-mata untuk cita-cita politik yang rakus.
Sukar dinafikan yang Malaysia ini sebenarnya berpotensi menjadi logistik atau laluan bagi kuasa-kuasa yang ingin mendominasi rantau ini bertujuan mengukuhkan ketenteraan mereka. Gendang-gendang perang yang kerap dipalu di antara barat dan timur khususnya di Timur Tengah boleh melarat ke rantau-rantau lain. Mereka yang menguasai laluan dan logistik mempunyai kelebihan dalam mengatur strategi peperangan. Malaysia yang aman ini jangan dipecah belahkan hingga menjadi alasan pihak-pihak tertentu di luar menceroboh kita secara halal dan akhirnya menjadikan negara ini sebagai pelacur murahan. Andainya berlaku sebarang rusuhan kaum seperti mana yang berlaku pada tahun 1969 maka akhirannya belum tentu akan menyamai seperti dahulu malah mungkin ianya akan jauh berbeza.
Dalam situasi global yang penuh kekacauan dan konspirasi-konspirasi politik dan ekonomi yang bergerak secara rahsia diseluruh pelosok dunia apakah kita ingin memperjudikan keamanan negara ini untuk memberi ruang bagi kesempatan yang dinanti-nantikan oleh musuh. Sesudah “menang sorak maka kampung tergadai “ dan apakah kini kita mahu mengalami nasib “ habis bersengketa negara pula dilacurkan”.

No comments: