Kini keseluruhan rakyat Malaysia menanti peristiwa seterusnya. Dengan kemelut perlantikan MB Perak yang ditangguhkan keesokan hari kerana kemelut yang belum selesai kini BN menghadapi situasi yang lebih parah. Tuduh menuduh yang merupakan senjata peribadi untuk melindungi kepentingan semakin bersimpang siur disekitar perlantikan kabinet baru yang pasti mengundang pelbagai spekulasi dan persepsi. Awal-awal lagi Tkt 4 Putrajaya telah mendapat habuan kerana kegagalan mereka menafsir situasi . Khairy nampaknya sepi mengharapkan pembelaan Bapa Mertuanya yang terpaksa menelan segala tohmahan. Memang sudah dijangka bahawa budak samseng oxford itu pasti berlagak sedemikian sekiranya ingin mengelak dari menjadi kambing hitam yang sememangnya sedia hitam. Itulah sebabnya tatkala selesai PR12 dan daripada merencana pemulihan gabungan yang telah reput itu Pak Lah masih lagi mampu membuat sidang akhbar untuk membela menantunya dan begitulah Pak Lah dan sikap ini memang telah pun dijangkakan. Menjadi penasihat Bapa Mertuanya bersama kroni-kroni yang sealiran degri dan usia, Khairy sebenarnya yang telah merosakkan UMNO dan BN khususnya. Rata-rata bukan sahaja hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang minat memerhati tetapi dikalangan anggota BN sendiri terutamanya UMNO yang melihat pengaruh khairy yang bagaikan singa sedang menanti peluang adalah begitu mengancam kedudukan mereka. Apabila terlalu dipengaruhi oleh sesaorang di dalam kerajaan maka ahli-ahli kabinet serta ahli-ahli parti gabungan BN sebenarnya berada dalam keadaan tidak selesa. Yang begitu selesa adalah mereka yang membodek menagih pengaruh dan keuntungan peribadi. Kabel khairi telah menjadi sebutan dikalangan mereka yang berminat untuk duduk di dalam kerajaan juga mereka yang kemaruk menghambat projek-projek diserata ceruk negara. Tiada nama lain yang muncul selain nama menantu Pak Lah yang seakan-akan berada dimana-mana. Hinggakan rakan-rakan lama Pak Lah sama ada di Kepala Batas atau di tempat lain seakan akan terputus hubungan mereka dengannya. Ini menyebabkan kebenaran atau nasihat ikhlas tidak mampu sampai atau diluahkan pada Pak Lah tatkala kelibat khairy sering sahaja kelihatan di situ untuk berbisek. Walau apapun tafsiran mengenai nepotisma atau kronisma yang jelas hampir keseluruhannya dipengaruhi oleh menantunya Pak Lah yang sering tidur sentiasa kelihatan mamun untuk menyetujui apa sahaja yang dibisekkan khairy di telinganya.
Untuk memulakan kembali imej yang tercalar dan tercemar natijah dari PR12 BN memerlukan kekuatan yang seakan sukar dicapai tatkala kemelut dalaman semakin rancak berbicara. Lebih sukar lagi Pak Lah untuk mempertahankan menantunya yang dilihat umum sebagai penyebab kejatuhannya yang turut mengheret BN bersamanya. Apa caranya dan gayanya kita sekarang sukar mengagak. Kedegilan Pak Lah untuk mendengar nasihat bekas-bekas menteri kanan BN sebelum dan semasa PR12 kini telah menjelmakan igauan mereka ke alam nyata. Keangkuhan Pak Lah serta menantunya dalam berkempen sebenarnya telah memulakan bibit-bibit kehancuran yang gagal dikesan oleh mereka. Mencabar rakyat agar berubah dan dalam masa yang sama menindas ekonomi dan intelektual mereka yang kini lebih bermaklumat untuk menilai telah menjadi salah satu penyebab penolakan rakyat terhadap BN berlaku. Di mana-mana rakyat yang sedang marah dan merana terpaksa menelan duri untuk membuat pilihan dan pilihan mereka ialah menolak kerajaan BN yang di pimpin Pak Lah dengan pengaruh menantunya. Lebih parah lagi apabila pernah khairy yang kemudiannya turut diekori Pak Lah telah membuat ancaman pada ruang siber. Ancaman untuk melakukan sesuatu yang pastinya tidak menyenangkan para-para pengunjung laman web dan "bloggers-bloggers" telah mengundang penentangan yang hebat dari masyarakat siber yang mempunyai lebih maklumat dan rangkaian. Apabila menyerang dan mengancam pengunjung ruang siber dilihat semakin menekan maka ianya telah mengundang penentangan yang semakin hebat. Dengan tertumpu pada maklumat-maklumat dihujung jari sama ada di tempat kerja waktu siangnya dan di rumah waktu malamnya rata-rata pengunjung siber langsung tidak berminat pada media-media arus perdana yang diketahui memang sebati dengan lidah-lidah BN.
Apabila kebebasan bersuara telahpun disekat bermula diperingkat universiti kini kebebasan pula mahu disekat diruang siber maka serangan-serangan bertali arus tidak memungkinkan BN untuk menepis segala hujah mahupun tohmahan. Kelantangan serta kebiadaban Khairy waktu berkempen kelihatan semakin jelas dan bertambah jelek di mata masyarakat dan inipun dapat diperhatikan dalam ruangan siber. Bermula di ruangan siber ianya kemudian tersebar di restoran-restoran atau di kedai-kedai kopi apatah lagi di "club house" dan tempat-tempat privasi. Di kampung-kampung yang turut juga dibekalkan dengan kemudahan "internet" maka segala maklumat sama ada hujah kebenaran atau tohmahan menjadi serata apatah lagi kini anak-anak lebih berani dan terbuka untuk mengkritik pendapat ibubapa. Dengan melihat persembahan dan segala tingkah laku anggota-anggota BN dengan segala skandal serta penyelewengan dan usaha untuk mengelabuinya maka rakyat semakin bertambah jelak. Apatah lagi yang boleh dipercayai pada konsep Islam Hadhari yang cuba dipelopori oleh Pak Lah dengan imej "playboy" dan bermewah-mewah yang digubah bagi paparan dalam ruangan siber. Rakyat keseluruhannya memandang dan menilai dan kebejatan yang berlaku semakin meresahkan mereka yang risau akan nasib generasi penyambung mereka yang bagaikan semakin kelam. UMNO bagi melayu kini bagaikan tidak boleh diharapkan. Dengan segala penyelewengan yang berlaku melibatkan hak bangsa melayu yang semakin terhakis maka UMNO dilihat sebagai pengkhianat. Apabila bangsa melayu telah disedarkan dari diuliti puisi serta seloka indah BN dan segala bukti-bukti penyelewengan dan pengkhianatan yang gagal diperjelaskan dengan yakin maka angin perubahan yang pada mulanya dibisekkan semakin kuat terhembus lantas menyedarkan mereka dari terlena.
Dalam situasi awal berkempen semasa PR12 telah menampakkan dengan jelas kesedaran masyarakat dan ini juga masih gagal disampaikan pada pengetahuan Pak Lah hingga segalanya telah terlewat. Rata-rata sememangnya tiada sambutan pada wakil-wakil BN dibandingkan dengan sambutan yang di terima oleh wakil-wakil B.A. Membuat caturan bahawa sambutan hadirin pada waktu berkempen tidak membayangkan jumlah pengundian sebagaimana sebelumnya maka BN gagal meneliti sambutan di daerah lain terutamanya di daerah ruang siber. Sepanjang waktu berkempen BN sebenarnya telah tewas lebih awal dan anggota-anggota bawahan mereka menyedari itu. Seluruh jentera kempen kemudiannya dipergunakan semaksima mungkin termasuk media-media arus perdana yang dikuasai. Mengharapkan pengaruh serta emosi ahli-ahlinya yang dibekalkan dengan semangat dan tradisi parti yang telah lapuk hanya mampu menyumbang sedikit bagi menjaga maruah. Anggota-anggota yang berkempen bagaikan tiada semangat dan kelihatan bagaikan tikus di luar lubang. Semangat D.S Najib yang berusaha melaung dan cuba meniup semangat semakin pudar dengan gaya kempen Pak Lah yang kelihatan masih janggal. Apatah lagi fakta-fakta kukuh B.A yang gagal dipintas dengan bernas oleh wakil-wakil BN yang berkempen. Amat sukar bagi mereka untuk berucap ataupun meningkah fakta-fakta pihak lawan tatkala bekalan yang ada telah lama basi dan dihurungi lalat.
Rakyat kini telah membuat teguran mereka dan teguran itu amat menyakitkan dan sekiranya Pak Lah masih lagi tidak mahu sedar dan insaf bagi memperbetulkan keadaan maka ia perlu menghadapi saat kehancuran. UMNO kini kelihatan tidak lagi relevan pada bangsa melayu keseluruhannya ianya hanya relevan pada Bumiputra-UMNO yang terdiri hampir keseluruhannya dari mereka yang rakuskan kepentingan status serta kebendaan. Melayu melihat bahawa UMNO terdiri dari mereka yang elit dan tamak di peringkat atasan manakala di bawah ianya di kerumuni langau-langau yang menjijikkan. UMNO bukan sahaja telah tercemar tetapi telah rosak keseluruhannya. Andainya BN kembali dipersada politik dan pentadbiran maka rakyat masih melihat kudis yang merebak dimulut serta nanah yang melata di tangan dan kaki mereka. Apakah resipi atau cara untuk BN terutamanya UMNO untuk menutup keaiban dan kepincangan yang diketahui umum?
Kudis yang telah merebak yang gagal dipulihkan hanya ada satu pilihan. Walaupun pilihan itu dibuat ianya tetap cacat dan pincang.
No comments:
Post a Comment