8/21/2011

Dunia dan Pencintanya

Mereka yang dewasa semakin gila dan yang muda terutamanya remaja bertambah hanyut. Mereka gila kerana gelap hatinya untuk memandang pada realiti dan saling bermusuhan walaupun sebangsa dan seagama. Yang hanyut pula semakin leka dibuai keseronokkan nafsu yang tidak pernah dibimbing kecuali apabila kelakuan mereka menyentuh kepentingan umum. Agama menjadi medan untuk melakunkan watak yang diada adakan demi kemandirian atau" survival politik". Menonjol antaranya adalah hipoktit berprejudis dan munafik. Yang memerintah melakonkan watak alim dan warak dengan aksi lucah manakala yang membantah bertopeng dan berjubah menyembunyikan hasrat sebenar sambil berselindung disebalik hadis dan nas.
Dunia yang semakin tua tetapi semakin menampilkan kejelitaan dan aura nafsunya langsung tidak pernah dihormati disebalik keberadaan nya.Kehidupan yang semakin singkat dan bertambah pantas pula nafas nazaknya tidak ingin dihormati dan iktibar yang bersulam zaman sirna ditelan kerakusan akan harta, kuasa, kesenangan melalui nafsu yang serakah.
Rakaman diwajah dunia melukiskan segala kebenarannya dimana yang berkuasa semakin tamak dan sanggup menghalalkan segala cara untuk kekal memerintah dan keadilan serta kebenaran menjadi barang taruhan di sebalik tangan-tangan pemain-pemain "pokker" . Kesucian dan kemurnian dipakaikan dengan pakain pelacur dan dihiaskan dengan warna-warna nafsu dan diberi wangian yang merangsangkan agar tampak semakin menyelerakan untuk dibaham dan dicabul tanpa ada sebarang perlindungan.
Si majnun yang kagum dengan jubah dan serban melihat dunia merayu-rayu kepadanya untuk dibebaskan dari cengkaman algojo dan rela pula untuk bermukah sekiranya jasadnya bertukar tangan dan itu seolah-olah janjinya. Si majnun seakan tidak tergoda akan pujuk rayu itu namun dunia sering sahaja meratap sayu dan si majnun yang yakin dengan sekelumit iman di hati menyambut tangan keduniaan untuk dipaksa lekang dari cengkaman algojo.
Sayang, selepas persengketaan yang membawa cedera membuatkan si majnun kepenatan dan terbaring lelah dipangkuan dunia dengan wajah kemenangan.Dunia yang terharu membelai dan mendendangkan nada syahdu lagu perjuangan dengan suara merdu dan si majnun terlena dan selesa dalam dakapan dunia yang lembut dan hangat serta mengasyikkan.
Si majnun yang berjubah dan berserban masih lagi mengomol tentang perjuangan sambil menikmati minuman dari bejana dilingkungi jari-jari halus dunia. Sambil memetik epal dan anggur si majnun masih tidak lekang dari riba dunia dan sesekali menengking mengunjnk-ngunjuk kewajah sang algojo yang terduduk tewas dalam jarak beberapa langkah. Si majnun petah berceramah sambil melondeh pakaian sang algojo yang hanya tinggal gigi yang rongak tanpa pedang dan cambuk dan ia terus-terusan mencela sang algojo mendedahkan aib musuh yangg tertewas itu.
Sang Algojo yang mengerti  dengan perangai dunia dan pernah bermukah dengannya dalam era yang panjang hanya sinis dan tertawa dalam diam.Duniajuga faham akan sang algojo yang pasti tidak akan mampu melupakannya dan tentunya ada usaha dan muslihat. Dunia lebih yakin lagi yang si majnun yang baru menikahinya pasti akan sanggup berkorban jiwa dan raga kononnya demi maruah serta keadilan dan membelainya dengan hujung naskah ayat-ayat suci.
Dunia kini rasa kagum dengan dirinya dan ia tahu siapa sahaja yang menang dalam perjuangan memilikinya pasti akan tetap mencium hujung jarinya.Kini dunia dalam dakapan si majnun dan ia menyukainya dan dunia kini menyalin pakaian menutupi aurat tetapi si majnun yang mabuk dengan keayuan dunia yang kini bertudung enggan melepaskan pandangan pada tubuh dunia yang baru sahaja dinikahinya.
Kapankah dunia diajak untuk mengenal penciptanya agar ia lebih sedar kekurangan dirinya dan mungkinkah kuliah itu diawal pagi keesokkannya? Hari meniti minggu dan menempa bulan dan tahun silih berganti. Si majnun masih lagi mendakap dunia disisnyauntuk dipamirkan ke serata pelosok sambil memberi ceramah umum mengagungkan kemenangan singkatnya dan merancang pula agar dunia yang dirantainya terpasung pada hukum dan adat.
Sang dunia yag ayu dan jelita  hanya rela menurut dan langkahnya masih dibayangi denyutan nadi gelora nafsu sang algojo yang bertahun ia pernah bermadu kasih.